Pembukaan Majlis Ta'lim Darul Murtadza 22.08.2014
Ustaz
Mustaffa Kamal Hamzah (Terengganu)
Seandainya kita memuji Sayyidina Nabi Muhammad ﷺ
daripada kita hidup sehingga kita mati sekalipun, sesungguhnya pujian itu tidak
cukup kerana sesungguhnya baginda Rasulullah ﷺ sudah sempurna dengan pujian
Allah SWT.
Allah SWT memuliakan Rasulullah ﷺ, maka ketahuilah sesiapa
yang memuliakan baginda Rasulullah ﷺ, sudah pasti dia akan dimuliakan Allah
SWT, sudah pasti Allah Ta'ala memberi rahmat kepadanya, bahkan Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa berselawat kepadaku sekali, Allah akan menurunkan rahmat kepadanya 10
kali” dan Allah Ta'ala sendiri menunjukkan kasih-sayang Allah Ta'ala kepada
Rasulullah ﷺ mengatasi para Rasul yang lain.
Allah Ta'ala telah muliakan Nabi Adam a.s, firman
Allah Ta'ala dalam ayat 35, surah A-Baqarah:
Iblis ingkar perintah Allah dan jadilah dia makhluk
yang kufur. Tiada Nabi selain Adam yang Allah perintahkan makhluk bersujud
kepadanya. Tapi, adakah Nabi Adam mulia? Ya, Allah memuliakan Nabi Adam, tetapi
firman Allah (surah Al-Ahzab, ayat 56):
Allah sendiri dan para malaikat berselawat ke atas
baginda. Oleh itu, wahai pemuda-pemuda yang berada di dalam masjid ini,
sesungguhnya kita diperintahkan untuk memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah
ﷺ.
Semua daripada kita mengenali Imam As-Syafie, seorang
yang alim, soleh, tinggi ilmunya. Namun, ketika dia wafat, seorang Imam bernama
Imam Al-Asfahani bermimpi bertemu dengan Imam Syafie lalu bertanya, “Apakah
yang Allah Ta’ala lakukan kepadamu wahai Imam Syafie?” Jawabnya, “Sesungguhnya
Allah Ta'ala telah mengampunkanku, dan memberi rahmat kepadaku dan mengasihiku.”
Lalu ditanya adakah kurniaan itu kerana ilmunya yang tinggi atau amalannya yang
banyak? Jawabnya, “Antara sebabnya ialah kerana aku banyak berselawat.” Bahkan
dalam satu kitab karangan Imam Al-Sakandari, dinyatakan bahawasanya barangsiapa
yang lalai, banyak melakukan maksiat, dan ingin cepat mendapat kasih-sayang
Allah, maka hendaklah dia memperbanyakkan selawat.
Alhamdulillah Allah kumpulkan kita di sini – ada yang
jauh dan yang dekat, saya dekat saja dari Terengganu datang untuk bersama-sama
dengan Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid yang saya anggap seperti
guru saya. Duduk dalam majlis mengingati Rasulullah ﷺ, dan bersama orang-orang
yang dikasihi Allah Ta'ala, dia pasti akan mendapat rahmat daripada Allah
Ta'ala.
Wahai anak-anak muda, wahai pencinta-pencinta ilmu, wahai orang-orang yang
cintakan kepada baginda Rasulullah ﷺ, tunjukkan cinta kita kepada Nabi Muhammad
ﷺ. Hidupkanlah sunnah Nabi, jangan tidak ada satu pun sunnah Nabi pada batang
tubuh kita. Hendaklak kita memakai pakaian yang mengikut sunnah nabi, tak kita
sama ada kita pakai imamah, atau cincin atau kasut, ingatlah yang kita ingin
mengikuti sunnah Nabi ﷺ.
Jangan kita tidur seperti tidurnya orang yang lalai
kepada Allah, tetapi tidurlah kita mengikut sunnah baginda Rasulullah ﷺ.
Apabila kita mengikut sunnah Rasulullah ﷺ, kita akan dikasihi Allah SWT, tetapi
kalau kita meninggalkan sunnah Rasulullah ﷺ, kita jauh dari Allah Ta'ala dan
jauh dari baginda Rasulullah ﷺ. Oleh itu, hidupkan sunnah Nabi ﷺ dalam diri
kita, kehidupan kita, dan seterusnya jangan lupa berselawat kepada baginda
Rasulullah ﷺ agar bila kita sentiasa berselawat, kita akan menjadi kekasih
Allah, kekasih baginda Rasulullah ﷺ.
Kita memohon agar Allah Ta'ala melembutkan lidah kita
agar sentiasa berselawat kepada baginda Rasulullah ﷺ. Seterusnya, jangan lupa
kepada ahlul bayt (ahli-ahli keluarga Nabi ﷺ), orang yang dikasihi baginda
Rasulullah ﷺ. Oleh itu, hendaklah kita mencintai orang yang dicintai Rasulullah
ﷺ. Jangan kita tinggalkan Al-Quran dan jadikan Al-Quran nul Kareem itu bacaan
harian kita. Jangan kita jauhkan diri kita dari baginda Rasulullah ﷺ. Ikutan
kita ialah Rasulullah ﷺ. Firman Allah (surah Al-Ahzab, ayat 21):
Sesungguhnya Rasulullah itu ikutan yang terbaik. Jika
kita mengikutnya, kita akan mendapat rahmat dan Allah Ta'ala akan menyayangi
kita. Jika kita ikut orang yang jauh dari Allah, nescaya kita akan jauh dari
Allah.
Tausiyah
2: Al Habib Ahmad Jamalullail dari Jeddah
dan diterjemah
oleh Al Habib Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid.
Kita berada di salah satu hidangan Nabi Muhammad ﷺ, di
mana dengan memuji dan berselawat ke
atas baginda akan memberi satu semangat kepada hati, roh dan jiwa kita sehingga
roh menjadi kuat dan dapat mengecapi
keindahan berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Seorang ulama terkemuka bernama Imam Ahmad bin Hassan
al Attas pernah mengatakan, “Amalan yang baik untuk seseorang memperbanyakkan
ialah berselawat kepada Nabi ﷺ dan istighfar kepada Allah SWT.” Amal perbuatan
yang membawa kebahagiaan dan keselamatan kepada seseorang yang dengan izin Allah
akan mendapat ‘husnul khotimah’.
Kita semua akan sampai pada satu masa yang ditetapkan
Allah SWT, yakni masa ini tak kekal dan akan berhenti, akan habis dan kita akan
kembali kepada Allah SWT, untuk berada di satu keadaan yang tak seorang pun
akan terlepas daripada keadaan itu iaitu masuknya seseorang ke dalam kubur dan
berjumpa dengan Mungkar dan Nangkir untuk menjawab soalan yang telah
diperintahkan Allah SWT. Moga-moga Allah memberikan kita husnul khotimah, Amin.
Untuk mendapatkan husnul khotimah hendaklah seseorang itu memenuhi umur dan
waktunya untuk mencari ilmu, dan sungguh perbuatan itu akan menggembirakan hati
baginda Nabi Muhammad ﷺ.
Seorang
ulama mentafsirkan dalam firman Allah SWT, “Rabbana
atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasanah waqina azabannar”. Maka ditanya
apakah maksudnya? Seseorang mengatakan yang dimaksudkan dengan ‘hasanah’ ialah isteri
yang solehah dan seorang lain pula mengatakan yang kebaikan itu ialah rumah
yang besar. Kemudian dijawabnya bahawa ‘hasanah’ atau kebaikan di dunia yang
diminta itu ialah kesempurnaan dalam mengenal Allah SWT melalui ilmu. Adapun hasanah yang
di akhirat adalah dapat menyaksikan kepada Allah Ta'ala. Inilah dua permintaan
yang diajarkan Allah kepada hambanya untuk meminta.
Orang yang mencari ilmu mesti memasang dan meletakkan
niat, kerana sesungguhnya ilmu yang yang dicari tanpa niat takkan memberi
apa-apa manfaat kepada seseorang yang belajar.
Seorang imam bernama Imam Ali bin Muhammad bin Hussain
Al- Habsyi berkata, “Kalau kamu datang ke majlis ilmu, tanamlah macam-macam
niat.” Yang pertama niatkan untuk mencari ilmu, untuk mengamalkan ilmu, untuk
bersilaturrahim dengan orang yang hadir dalam majlis ilmu, untuk melihat kepada
orang yang berilmu, bertemu dengan orang-orang yang soleh. Maka niat-niat
seperti ini di pasang ketika seseorang ingin datang ke majlis ilmu. Maka,
setiap niat yang dia niatkan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Demikian,
mereka para ulama-ulama yang ada setelah Imam Ali Al Hasbyi, Imam Abdul Qadir
bin Abdul Rahman As-Seggaf*, Imam Ahmad Al-Haddad*, yang kesemuanya adalah
berilmu dan mengamalkan kepada ilmu. Itu semua adalah hasil atau buah daripada
ilmu yang telah dicapai oleh mereka.
Seseorang yang berilmu itu akan terangkat dengan
ilmunya, tanpa mengenal kepada jantina. Walaupun seorang perempuan, jika
berilmu akan terangkat kedudukannya. Seorang ‘alimah bernama Nafisah, seorang
solehah menjadi rujukan kepada ramai ulama pada zamannya termasuk Imam
As-Syafie sendiri. Ketika Imam Syafie meninggal dunia, Siti Nafisah berkata,
“Semoga Allah merahmati Syafie. Sesungguhnya Imam Syafie itu adalah sempurna
dalam mengerjakan wudhuk.” Wudhuk merupakan kunci kepada solat – ini
menunjukkan pentingnya untuk seseorang mempunyai ilmu khususnya ilmu asas
seperti solat, kerana solat merupakan pertanyaan pertama yang akan ditanya di
dalam kubur.
Seseorang yang mencari ilmu hendaklah beramal dengan
ilmunya dan tidak mengabaikan ilmu yang diperolehinya. Imam Al-Ghazali, yakni
seorang yang berilmu dan ‘alim yang besar, setelah wafatnya, salah seorang
pengikutnya bermimpi melihat kepada beliau dan ditanya bagaimana keadaan beliau
di dalam kubur, Jawabnya, “Allah SWT mengampunkan aku kerana seekor lalat yang
suatu hari meminum daripada dakwat yang aku sedang menulis, dan aku berhenti
agar lalat itu tidak terbang dan membiarkan lalat itu minum dakwatnya.” Maka,
rahmatnya sikap Imam Syafie terhadap lalat itu menyebabkan pengampunan oleh
Allah SWT. Seorang yang berilmu ialah orang yang mengamalkan ilmunya, termasuk
kepada haiwan.
Imam As-Syafie, setelah meninggal dunia, dilihat oleh
salah seorang pengikutnya di dalam mimpi lalu ditanyakan apa yang telah Allah
beri kepadanya. Jawabnya bahawa Allah telah mengampunkan dan memberi rahmat
kepadanya kerana banyak berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Tausiyah
3: Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Berbicara tentang ilmu dan kaitannya dengan apa yang
disampaikan oleh sebelum ini, bila mendakwa cinta kepada Rasulullah ﷺ adalah
dengan menghidupkan sunnah Nabi Muhammad ﷺ. Bilamana mendakwa kita mengasihi
seseorang, maka kita akan mencari apakah yang kita boleh buat agar orang yang
kita kasihi gembira dengan apa yang kita lakukan. Orang yang mengasihi tentunya
akan menggembirakan orang yang dikasihinya itu.
Maka, seseorang yang mendakwa kasih kepada Nabi
Muhammad ﷺ hendaklah bertanya kepada
diri sendiri - apakah yang boleh kita lakukan untuk membuatkan baginda gembira
dengan apa yang kita lakukan? Pernahkah kita bertanya apa yang Nabi ﷺ minta
daripada kita? Apa yang Nabi mahukan daripada kita? Apakah perkara khusus yang
Nabi ﷺ mahukan kita berada di dalamnya? Ini ada kaitan dengan apa yang telah
disebut kedua-dua penceramah sebelum ini iaitu:
1. Pengakuan kasih kepada Nabi, dan
2. Menterjemah pengakuan tersebut dengan mencari ilmu.
Nabi Muhammad ﷺ mahukan kita menjadi 4 golongan, kalau
boleh jadi kesemuanya itu yang terbaik, tetapi jika tidak mampu, hendaklah cuba
menjadi salah satu daripada yang 4 tersebut.
Apa yang Nabi ﷺ mahukan? Kata baginda, “Aku ingin…
1. .. jadilah kamu orang yang berilmu.”
Seseorang takkan berilmu kecuali dia mencari ilmu.
Seseorang itu disuruh mencari ilmu supaya mengamalkannya, dan itu merupakan
permintaan Nabi yang pertama kepada kita. Seseorang yang ingin menggembirakan
hati Nabi ﷺ, tentunya dia akan berusaha untuk memperkaya dirinya dengan ilmu.
Bagaimana tidak? Allah SWT yang salah satu daripada namanya Yang Maha Berilmu,
menyuruh kepada Nabi ﷺ untuk meminta doa tambahan ilmu. Firman Allah, “Katakan
wahai Rasulullah, …”.
Apa yang Allah ajarkan meminta? Darjat yang tinggi,
syurga, meminta dipimpin agar melakukan amal soleh, semuanya adalah perkara
yang mulia dan baik, akan tetapi Allah mengajar untuk meminta tambahan ilmu,
bukan minta ilmu. Kalau seseorang minta ilmu, maka kalau dah dapat, maka dia
akan rasa cukup dengan apa yang dia dah dapat. Tapi bila minta tambahan ilmu,
takkan merasa cukup melainkan akan minta tambahan lagi. Oleh yang demikian, tak
seorang pun berhak mengatakan yang dia sudah menjadi orang yang berilmu dan tak
perlu aku mencari ilmu kepada orang lain.
Seseorang hendaklah bercermin kepada baginda
Rasulullah ﷺ yang ilmunya menembusi alam, bukan hanya ilmu dunia sahaja tapi
tahu ilmu alam barzakh, ilmu alam akhirat, dan masih meminta tambahan ilmu
kepada Allah SWT. “Allah mengajar ilmu kepada Engkau wahai Rasulullah perkara yang
kamu tidak tahu.” Oleh yang demikian, seseorang itu jangan merasa cukup dengan
ilmu yang dia ada kerana yang lebih mulia daripadanya pun meminta tambahan
ilmu.
Kata pepatah, “Kalau kamu tahu satu benda, banyak
benda lagi yang kamu tak tahu.” Maka, alangkah sempitnya akal fikiran seseorang,
bilamana dia membaca 1,2 buku, dengar 1,2 CD atau dengar radio atau dengar
orang cakap, dan keluar dari majlis itu dan terus hukum orang lain sesat atau
mempersoalkan perbuatan orang lain. Tunggu sekejap, jangan dibatasi ilmu dengan
apa yang anda dengar dan apa yang anda faham saja, banyak lagi ilmu yang anda
belum tahu.
Seorang yang benar-benar berilmu akan beradab dengan
ilmu itu sendiri, dan akan beradab kepada orang lain yang berilmu, walaupun
orang yang berilmu itu berselisih faham dengannya, walaupun orang lain yang
berilmu itu mempunyai pandangan yang berbeza, pengikut yang lain, tetap dengan
konsep ilmu yang luas, hendaklah tidak mudah untuk menyalahkan kepada orang
lain, apatah lagi sehingga menghukum orang lain sesat bilamana tidak sependapat
dengan orang lain. Maka berhentilah dengan hanya perbezaan tanpa menghukum
orang itu sesat. Belajarlah sikap orang alim seperti Imam Syafie dan Imam Ahmad
bin Hambal. Walaupun mereka banyak berbeza pendapat dalam banyak masalah,
tetapi akhlak antara mereka orang berilmu adalah sangat baik - mawaddah, kasih-sayang,
saling menghormati. Pepatah mengatakan, “Semakin
luas ilmu seseorang akan semakin kurang ‘protes’ kepada orang lain yang tak
sejalan dengan pandangannya. Tetapi semakin sempit ilmu seseorang, maka semakin
mudah untuk menyalahkan kepada orang lain.”
Al Imam As-Syafie dipuji oleh Imam Ahmad bin Hambal
dengan mengatakan, “As-Syafie bagi kamu manusia, umpama matahari yang
diperlukan untuk bumi, dan umpama kesihatan yang diperlukan untuk tubuh badan.”
Walaupun pandangan mereka berdua banyak yang berbeza,
itu tidak mengeruhkan hubungan antara mereka berdua. Suatu hari, Imam Ahmad bin
Hambal sakit, lalu diziarahi Imam As-Syafie. Perbezaan pendapat tidak
menyebabkan mereka mencela satu sama lain. Bahkan Imam Ahmad merasa gembira
dengan kedatangan Imam Syafia dan beransur sembuh dengan izin Allah SWT. Tak
lama kemudian, Imam As-Syafie pula sakit, dan diziarah Imam Ahmad bin Hambal.
Datangnya Imam Ahmad bin Hambal, seorang ahli hadis, ulama besar dan terkenal
di Iraq ketika sebagai ahli dalam pelbagai bidang ilmu menimbulkan kebanggaan
kepada anak muridnya.
Memang
seseorang boleh merasa bangga dengan gurunya, boleh untuk menjadikan gurunya
idola, akan tetapi jangan lebih menyanjung gurunya dengan merendahkan guru
orang lain. Jangan mengatakan “Tiada teladan kecuali guru aku!” Kenapa
dibataskan gurunya kepada seorang saja? Kenapa dihadkan ilmu yang ada kepada
satu orang?
Warisan
ilmu Rasulullah ﷺ tidak ditinggalkan kepada seorang saja. Sekian ribu para
as-sahabah menjadi pewaris Nabi Muhammad ﷺ. Kalau ilmu itu boleh dibatasi
kepada satu orang sahaja, tentu Nabi ﷺ akan lantik seorang saja, dan yang lain
akan ditolak oleh baginda. Kalau ilmu itu hanya ada pada satu orang saja, Allah
takkan suruh Nabi Musa untuk pergi cari kepada Nabi Khindir dan belajar
daripadanya. Allah SWT menceritakan kisah-kisah ini untuk kita mengambil
iktibar adab kepada ilmu dan orang-orang yang berilmu. Dalam menyanjung guru,
kita hendaklah tidak melebihi batasan dengan menghina guru orang lain.
Hormatlah guru kita tanpa merendahkan orang lain kerana masing-masing mempunyai
kedudukan di sisi Allah SWT. Adab orang yang berilmu dengan orang berilmu begitu
juga. Kalau anak murid tak boleh fanatik dengan gurunya, maka yang berilmu juga
tak boleh menganggap dirinya, “I am the best”.
Anak
murid Imam Syafie mengatakan kepadanya, “Hebatnya engkau, Imam besar: Imam
Ahmad bin Hambal datang menziarahi engkau.” Imam Syafie pun membacakan beberapa
bait syair untuk menunjukkan bagaimana sikapnya kepada orang berilmu yang lain,
dan sebagai menegur anak muridnya agar menghormati guru orang lain, katanya,
“Kemuliaan itu tidak memisahkan kedudukan seseorang yang mulia, kemuliaan yang
ada pada seseorang akan kekal ada pada orang tersebut.” Kata Imam Syafie lagi,
“Kalau dia berziarah kepada aku, kerana dia orang yang mulia dan kalaupun saya
berziarah kepada dia, adalah kerana dia orang yang mulia.”
Ini
adab seorang ulama, bilamana ingin disanjung oleh anak muridnya, diajar agar
menghormati kepada guru orang lain, di manakah adab ini hari ini? Di manakah
akhlak pengikut kepada seorang yang diikuti, lebih-lebih lagi dalam hal ehwal
agama, dalam komennya, dalam ‘facebook’nya, dalam apa saja yang tangannya gatal
nak bagi komen. Dengar sikit saja pendapat yang mungkin tidak sesuai dengan
pandangannya, atau pandangan gurunya, maka keluar makian dan kata-kata yang
tidak diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Belajarlah wahai orang yang mencari ilmu
akan tawadhuk – yakni merendahkan diri kepada orang berilmu yang lain, melihat
kelebihan kepada orang lain. Ini permintaan pertama Nabi ﷺ - jadilah kamu orang
yang berilmu.
“Siapa orang yang diberi masa muda
oleh Allah, tapi dia tak menggunakannya untuk belajar, maka angkatlah 4 kali
takbir untuknya.” Empat kali takbir untuk apa? Apa satu saja solat 4 kali
takbir tanpa rukuk – solat jenazah! Orang muda perlu mencari ilmu kerana hanya
dengan ilmu seseorang boleh meraih ketaqwaan. Kalau 2 perkara ini tiada - ilmu
tiada, taqwa pun takkan ada, maka tiada nilainya orang ini, Demikian kata-kata
Imam Syafie memuji kepada orang-orang yang mencari ilmu. Belajarlah dengan ilmu,
rasa takut kepada Allah SWT – Yang takut kepada Allah adalah para ulama. Ilmu
yang diwariskan Nabi ﷺ mengajarkan rasa takut kepada Allah, yang dengan rasa
takut itu, kita boleh mengenal yang mana satu orang berilmu, yang mana satu
orang tak berilmu. Seseorang yang mengaku berilmu tetapi tidak takut kepada
Allah dan tidak menghormati orang berilmu yang lain, maka dia tidak berilmu
walaupun satu dunia mengatakan dia berilmu.
Kata
Al Imam Syafie, “Barangsiapa yang tidak merasakan pedihnya, susahnya ketika
mencari ilmu, yakni orang yang tidak sabar mencari ilmu, maka dia akan hidup
dalam kejahilan selama dia hidup.” Orang yang mencari ilmu mesti sabar dengan
susah-payahnya mencari ilmu, balik mungkin lewat malam, maka dia akan
mendapatkan hakikat ilmu yang akan diberikan Allah Ta'ala lebih daripada yang
dia tidak belajar. Hak oleh orang yang belajar ilmu ialah mengamalkan apa yang
dipelajari.
Yang
ketiga yang diinginkan oleh Nabi Muhammad ﷺ ialah jika tak boleh jadi pelajar,
maka jadilah orang yang mendengar kepada ilmu. Apa beza orang yang belajar ilmu
dan orang yang mendengar sahaja? Orang belajar ada maksud datang ke majlis
ilmu, datang dengan bawa buku, pen, kitab dan otaknya ‘fresh’ untuk dengar
ilmu, bukan datang untuk lepas geram pada orang lain umpamanya, atau datang
kerana tengok ada ramai orang. Walaupun mendengar saja pun dapat barakah,
kerana duduk dengan orang baik pasti dapat kebaikan tapi tidak sama dengan
orang yang memang benar-benar datang untuk mencari ilmu. Apa bezanya,
mendengarkan boleh juga mendengar di radio atau televisyen, tapi orang yang
belajar akan datang dengan membawa kitab dan keazaman yang kuat untuk
mendapatkan ilmu.
Kata
baginda Rasulullah ﷺ, kalaupun tak jadi pelajar, jadilah pendengar kepada ilmu,
yakni hadir walaupun tak bawa kitab, tak bawa pen. Kata pepatah, "Orang
yang hadir majlis ilmu tak bawa pen seumpama pergi jihad fi sabilillah tak bawa
senjata." Orang yang datang majlis ilmu kena bawa kertas, bawa pen untuk
catit. Kalau tak dapat beli kitab, kurang-kurang kena catit apa yang
disampaikan. Kata Imam Syafie, “llmu itu seperti mangsa yang diburu, maka kalau
dapat kena ikat dan untuk ikat ilmu itu dengan mencatit. Sungguhlah perkara
yang tidak layak dilakukan oleh seseorang, susah payah mencari mangsa, kemudian
dilepas begitu saja, itu umpama orang mendapat ilmu dan tidak mencatit.”
Jagalah
adab sebagai pencari ilmu, kita diberi lidah untuk berkata dengan kata-kata
yang baik. Hiasilah mulut ini dengan kata-kata yang baik. Ada orang datang
memaki hamun kepada Imam Syafie, tapi beliau diam saja. Tanya anak muridnya,
“Kenapa kamu tak balas caciannya?” Jawabnya, “Orang jahil cakap buruk tentang
aku, aku tak mahu layan dia dengan juga bercakap buruk sepertinya – dia
bertambah jahil dengan cakapnya itu, dan aku bertambah mulia dengan tidak layan
kepada dia.” Umpama kayu gaharu, bagaimana nak tahu wanginya? Perlu dibakar,
baru semerbak baunya. Orang berilmu, akan jaga adab ilmunya dengan tidak
mengotori sikapnya dengan sikap yang tidak betul, sementara ilmu yang dia
belajar mengajarnya benda yang betul. Orang yang belajar ilmu, keluar dari majlis
ilmu takkan hon orang yang dihadapannya kerana dia belajar ilmu bersabar,
takkan menunjukkan sikap yang bercanggah dengan ilmu yang dipelajarinya dalam
menghadapi orang yang mungkin menyakitinya - Inilah citra orang yang berilmu.
Yang
keempat yang diinginkan Nabi Muhammad ﷺ ialah jadilah pencinta kepada ilmu,
orang yang belajar ilmu, dan orang yang mendengar ilmu. Jangan jadi yang kelima
– tak suka kepada ilmu. Maka kamu akan celaka, kata Nabi Muhammad ﷺ. Ambillah
daripada 4 pilihan ini, yang kita mengharapkan pilihan yang pertama, walaupun
tahu sedikit benda daripada ilmu untuk berdiri di atas ilmu yang kita belajar.
Moga-moga Allah SWT beri kepada kita ilmu yang bermanfaat, dijauhkan daripada
ilmu yang tidak bermanfaat Insha Allah.
*:
Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah
seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di
sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan
teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan